Friday, June 10, 2011

Kisah Orang Kaya, Fakir, dan Hakim Yang Adil..

Ini sebuah kisah buat teladan kita bersama. Kisah ni berlaku dalam dunia dongeng Melayu, namun penuh unsur realiti.



Satu masa dulu, ada sebuah kampung di pinggir negeri Harimaupura. Di kampung ini, tersergam sebuah rumah indah yang didiami oleh pembesar daerah bersama isterinya. Pembesar ini namanya Orang Kaya Kudin. Berjiran dengannya, tinggal sepasang suami isteri miskin, papa, dan kedana. Namanya Fakir. Rumahnya dhaif. Bumbungnya bocor. Lantainya tiris. Dindingnya reput. Jauh bedanya dengan rumah bak istana milik jiran mereka.

Orang Kaya Kudin hartanya 7 keturunan makan tidak luak. Pakaiannya sekampung pakai tak habis. Istimewa sekali, rumahnya ada tukang masak terbaik dari daerah jajahannya. Tapi anih, Orang Kaya Kudin dan isterinya kurus kerempeng. Mukanya cekung, perutnya melengkung. Kaya namun tak bahagia. Tiap hari mereka risau kalau-kalau harta mereka yang berbondong-bondong tu dibawa lari orang. Makan mereka tak selera. Masakan tukang masaknya tidak bisa buat suami isteri ni berselera.

Ironisnya, jiran mereka, Fakir dan isterinya segar bugar! Makanan mereka hanya nasi dan telur rebus setiap hari, namun badan mereka bulat-bulat! Wajah mereka sentiasa ceria. Hati mereka sentiasa gembira. Walaupun tiada harta, hidup mereka tetap bahagia. Anih..anih...

Satu hari, Orang Kaya Kudin terserempak dengan si miskin Fakir. Pelik rasanya bila dilihat jirannya begitu gemuk sekali. Bandingkan dirinya yang tiap hari dihidangkan makanan bak raja namun masih kurus, Fakir dan isterinya yang makannya pun tak pernah cukup boleh gemuk dan segar bugar sebegitu. Sangsi dan dengki mula timbul dalam hati Orang Kaya Kudin..lalu seraya bertanya: "apa yang kamu makan sampai kamu segar-bugar begini..aku yang kaya, makan bagai raja pun kurus keding..apa rahsia kamu? ". Maka si Fakir pun jawab: "aku cuma makan nasi dan telur rebus dengan isteriku setiap hari..tapi....." "Tapi apa??" jegil Orang Kaya Kudin. Sudah tentu Orang Kaya Kudin pun mahukan tubuh yang sihat dan segar macam si Fakir.. "Tapi, kami makan 'berulamkan' bau-bauan yang enak dari dapur Orang Kaya.. Bau-bauan itu sudah cukup buat kami berselera untuk makan walaupun nasi dan telur sahaja...itu lah rahsia kami. Tiada lebih, tiada kurang.." bersahaja Fakir jawab. "APA??" terkejut Orang Kaya Kudin mendengar jawapan Si Fakir. "Jadi, kamu segar, sihat, dan gemuk begini kerana bau dari dapur rumah aku?!! Begitu maksud kamu??". Angguk sahaja si Fakir mengiyakan telahan Orang Kaya Kudin. "Ini tak boleh jadi...makanan tu dari dapur aku, disediakan untuk aku..dibayar oleh aku, tapi dia yang dapat untung! Dia yang gemuk! Aku pulaka yang kurus..ini tak boleh jadi!" getus hati Orang Kaya Kudin sambil berlalu pergi. Terpinga-pinga si Fakir melihat telatah Orang Kaya Kudin.

Sampai di rumah, Orang Kaya Kudin pun mengadu kepada isterinya tentang apa yang baru sahaja diketahuinya. Isteri Orang Kaya turut sama rasa tidak puas hati. Lalu mereka terus ke rumah Hakim Daerah untuk mengadu. Sampai di rumah Hakim, mereka adukan perihal masalah dan ketidakpuasan hati mereka. Lalu Hakim pun memanggil si Fakir untuk diadili.

Si Fakir dan isterinya duduk mengadap Hakim. Hakim mula berkata: "Fakir, Orang Kaya Kudin menuduh kamu mencuri dan mendapat faedah dari bau-bauan masakan dari dapur mereka. Sedangkan makanan yang dimasak untuk mereka itu tak bawa manfaat kepada mereka, kamu berdua pula yang kenyang kerana bau makanan mereka. Betul tuduhan ini?".. Terkebil-kebil Fakir menjawab: "betul Tuan Hakim, tapi kami cuma ambil bau sahaja. Tak lebih dari itu. Tak pernah kami ambil makanan atau apa-apa pun dari Orang Kaya Kudin." "Tak mengapa," kata Hakim, "Oleh kerana kesalahan ini, aku perintahkan kamu untuk membayar ganti rugi kepada Orang Kaya Kudin sebanyak sepuluh keping wang emas! kamu ada masa seminggu dari sekarang." Terkejut Fakir dan isterinya. Habislah..di mana agaknya mahu dicari duit sebanyak itu? Orang Kaya Kudin dan isterinya tersenyum puas. Mahu sahaja mereka bersorak di situ. Dengan perasaan yang berbeda, kedua-dua pasangan itu pun pulang.

Di rumah Orang Kaya Kudin, kedua-dua suami isteri bermimpi-mimpi untuk dapat sepuluh wang emas dari orang miskin. Di rumah Fakir, berduka cita mereka berdua. Dimana mahu dicari wang tersebut? Akhinya, terpaksalah mereka meminjam, memajak, dan segala macam usaha untuk mendapatkan wang emas yang diarahkan Hakim.

Seminggu kemudian, tiba masa penentuan. Kedua-duanya sampai serentak di rumah Hakim. Berdebar2 kedua2 jantung; si miskin dan si kaya. Fakir bakal menanggung hutang seumur hidup selepas ini. Orang Kaya Kudin bakal menambah harta kekayaannya. Hakim pun mula menilai...

"Fakir..bawa ke sini wang emas kamu.." kata Hakim. Bergetar tangan Fakir menyerahkan wang yang tak pernah mampu dimiliki oleh kudrat azali mereka. Susah payah seminggu hanya atas ketidakadilan dan penindasan orang kaya dirasakan berat untuk ditanggung. Hakim lalu membawa keluar sebuah mangkuk besi.

"Sekarang, aku akan mula mengira wang emas seperti yang dijanjikan..". Liar hati Orang Kaya Kudin melihat wang emas dibawa kluar dari karung lusuh Fakir. Satu persatu wang emas dilepaskan ke dalam mangkuk besi oleh Hakim. "Ting! Satu wang emas.... Ting! Dua wang emas... Ting! Tiga wang emas..............Ting! Ting! Ting..! Sepuluh wang emas...." setiap dentingan bunyi wang emas yang jatu ke dalam mangkuk besi Hakim menyeronokkan Orang Kaya Kudin dan isterinya. Tergedik-gedik Orang Kaya Kudin melihat wang-wang emas di dalam mangkuk yang bakal menjadi miliknya. Hakim lalu mengisi wang-wang tersebut ke dalam karung kembali. " Baiklah, cukup sudah sepuluh wang emas yang dijanjikan. Orang Kaya Kudin, puas hati kamu?" tanya Hakim. "Puas!!" jawab Orang Kaya.

Hakim lalu mengikat karung wang dan menyerahkannya kembali..kepada Fakir! "Baik Fakir, hukuman dan ganti rugi kamu telah terlaksana, ambil kemabli wang ini, dan pulanglah ke rumah. Hutang kamu telah langsai.." "Apa??!!" serentak jerit Orang Kaya dan isterinya. Terkejut dengan tindakan Hakim. " Tapi, wang itu milik kami...!" kata Orang Kaya. " Aku hanya bertindak adil.." kata Hakim. " Fakir dan isterinya hanya mengambil bau masakan yang enak-enak dari dapur rumah kamu, maka kamu pun hanya boleh mengambil bunyi kepingan wang-wang emas itu dari mereka.. Adil bukan?" sambung Hakim. Terduduk dan tersipu Orang Kaya dan isterinya. Merah padam muka menahan malu. Fakir dan isterinya terharu dan menitiskan air mata dengan pengadilan Hakim yang adil itu.

Tamatlah peristiwa hari itu. Kedua-dua pasangan itu pulang membawa perasaan masing-masing. Yang kaya termalu, yang miskin terharu... Hakim tersenyum puas.

2 comments:

  1. cerita tauladan yg pling aq suka dan igt... byk nilai dan pengjrn yg tersurt dan tersirat...

    ReplyDelete